KUCHING: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Miri menjadi korban terbaharu Covid-19 di Sarawak, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Menurut JPBN, kes kematian yang bertarikh 19 Mac lalu itu berlaku di Hospital Miri dengan kanak-kanak terbabit mempunyai sejarah penyakit Cerebral palsy dan paru-paru kronik.

“Ia merupakan antara dua kes kematian baharu dilaporkan, satu lagi melibatkan warga emas lelaki berusia 85 tahun yang jenazah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan latar penyakit darah tinggi dan jantung,” kata JPBN dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, JPBN mengumumkan dua kluster baharu melibatkan tempat kerja berasingan di Daerah Kuching diisytiharkan di Sarawak, hari ini.

“Ia melibatkan Kluster Jalan Bukit Mata dan Kluster Jalan Padungan, menjadikan sejumlah lapan kluster aktif di negeri ini.

“Kluster pertama melibatkan kakitangan sebuah syarikat subsidiari kerajaan negeri yang terletak di Jalan Bukit Mata dengan setakat ini 21 orang didapati positif.

“Kluster kedua pula melibatkan pegawai dan kakitangan sebuah institusi kewangan swasta yang terletak di Jalan Padungan dan seramai 17 individu disahkan positif setakat ini,” ujar JPBN.

Menurut JPBN, jangkitan dipercayai berpunca daripada komuniti dan telah merebak di dalam tempat kerja melalui pergaulan rapat dalam kalangan mereka sehingga menjangkiti generasi kedua.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBN memberitahu sebanyak 1,400 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 292,859 kes.

Suara Sarawak