Kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran ditahan di kedudukan lebih kurang tujuh batu nautika barat daya Kuala Bakam, malam semalam.

MIRI: Sebuah kapal tangki ditahan kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang tujuh batu nautika barat daya Kuala Bakam, malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kapal tangki tersebut ditahan pada jam 9.30 malam semalam, kerana berlabuh di luar batas pelabuhan tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda tempatan dan tujuh warga Myanmar berusia antara 22 hingga 53 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kesemua tujuh kru warga Myanmar tersebut turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa oleh penguat kuasa.

Katanya nakhoda kapal turut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Perintah penahanan ke atas kesemua kru dan kapal tersebut telah dikeluarkan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah dan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah pelangggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di Perairan Zon Maritim Malaysia amnya dan di perairan Zon Maritim Miri khasnya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Suara Sarawak