Rampasan senjata api di sebuah rumah di Jalan Sebiew.

BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas senjata api yang dianggarkan bernilai RM5,125.43 di sebuah rumah di Jalan Sibiew, Bintulu, pada 10 Mac lalu..

Pengarah Kastam Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan sekitar jam 10.20 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Kuching.

“PIhak kita turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang hadir ke lokasi kejadian untuk menuntut bungkusan disyaki mengandungi senjata (bahagian senjata api) dihantar dari luar negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu juga membawa kepada penemuan peralatan senjata, dua unit Hatsan Airtact Synthetic Stock, satu unit BSA Contender Riflescope Hunting Optics Sight, satu unit Airsoft High pressure Indicator Ds Tm, dan satu set Scope Extension Mount (ohhunt),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport senjata dari luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengisytiharan dan permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk membantu pihaknya membanteras jenayah penyeludupan terutamanya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan di talian bebas tol 1-800-888855 atau pejabat Kastam terdekat.

Rampasan senjata api di sebuah rumah di Jalan Sebiew.

Suara Sarawak