Kaswandee tawan Korea

SEBUT sahaja Korea Selatan, ramai yang teringatkan K-Pop, kumpulan BTS, Blackpink, kimci dan pelbagai lagi perkara.

Pernahkah anda terfikir untuk melanjutkan pengajian di negara itu. Tiada siapa sangka, berkat kesungguhan dan kecekalan untuk meneruskan pengajian di Korea Selatan hampir enam tahun, Mohd Kaswandee Razali, 29, berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa di Universiti Kebangsaan Gyeongsang, Korea Selatan.

Menggenggam kata azimat “pastikan masuk pintu dengan persediaan dan kesediaan, dan keluar pintu dengan kejayaan” menjadikan anak jati kelahiran Kampung Kuala Balingian, Mukah ini berjaya memperoleh PhD sepanjang pengajian di sana.

Terdahulu Kaswandee berjaya memperoleh ijazah sarjana dalam bidang yang sama selama dua tahun, juga di Korea Selatan.

Ketika dihubungi Suara Sarawak, Kaswandee kini berada di Jinju, wilayah Gyeongsang Selatan.

“Syukur kerana tidak dikalahkan oleh keadaan. Perasaan teruja, gembira tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata dan terharu dapat membanggakan ibu (Masniah Shapiee) dan ayah (Razali Sahari) saya.

Berkat doa dan pengorbanan mereka membanting tulang siang dan malam selama ini, saya beroleh PhD ini.

“Begitu juga rakan yang banyak memberi sokongan sepanjang perjalanan saya di Kimchi Land ini, terima kasih tidak terhingga kepada semua.

“Selama berada di Korea Selatan, Alhamdulillah saya dapat sempurnakan ijazah sarjana dan PhD dalam jurusan yang sama,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, anak sulung daripada lima adik-beradik ini menjelaskan, perjalanannya untuk belajar ke Korea Selatan bermula semasa dia diberi pendedahan ketika pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UiTM Shah Alam.

Tawaran lanjut pengajian

“Seterusnya saya mendapat tawaran dan lulus temu duga untuk menyertai Biasiswa Korea Global (GKS) untuk Pelajar Kejuruteraan dan Negara Asean oleh Kerajaan Korea (KGSP).

Program ini terbuka kepada 10 negara Asean khusus dalam bidang sains dan kejuruteraan selama dua bulan.

“Terpilih menjadi salah seorang daripada tiga peserta mewakili Malaysia dalam bidang kejuruteraan sudah pasti menjadi perkara yang tidak dijangka ketika itu.

“Pengalaman ini bagaikan mimpi apabila terpilih menjadi ketua kumpulan kepada beberapa peserta lain dari Filipina, Vietnam, Laos dan terus mendapat tempat pertama dalam pertandingan sepanjang program itu.

“Kepercayaan yang diberikan amat dihargai kerana bertanding dengan negara hebat Asean yang lain bukan mudah,” kongsinya lagi Ujar Kaswandee, disebabkan kemenangan dan bertitik tolak dari itu,

seorang pensyarah di Korea Selatan menghubunginya serta menawarkan peluang melanjutkan pengajian bersamanya dengan tajaan penuh dari Korea Selatan sehingga berjaya menghabiskan pengajian di peringkat PhD.

Menurut Kaswandee, perjalanannya menimba ilmu bukan mudah dan banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama masa dan perasaan berjauhan dari keluarga.

“Membuat keputusan untuk datang ke Korea Selatan bukan mudah, pergi seorang diri keluar dari Malaysia meninggalkan keluarga jauh di Sarawak tanpa pasti siapa yang menanti saya.

“Hal ini kerana waktu itu saya melapor diri sedikit lambat atas urusan kerja di Perodua Manufacturing Sdn Bhd.

“Selain itu, urusan dokumentasi pada waktu itu (2017) juga sukar sebab serba kekurangan.

“Tiada kenderaan untuk ulangalik untuk menyelesaikan urusan di kedutaan di Ampang ditambah cuti yang terhad.

“Alhamdulillah atas izin Allah SWT, berkat doa dan sokongan ahli keluarga serta sahabat, segala urusan berjaya diselesaikan.

“Saya bermula tanpa tahu apa-apa, masuk pintu Korea Selatan tidak pasti mana satu kuncinya.

“Kemudian Allah berikan ilham tanpa diduga. Dari situ langkah kembali diatur dan dalam pencapaian PhD ini, saya telah menerima sokongan akademik dan ikrar hati daripada ramai orang,” katanya lagi.

KASWANDEE turut mengakui, budaya dan komunikasi yang dialaminya di Korea Selatan jelas agak berbeza jika dibandingkan di Malaysia.

Katanya, orang Korea lebih cenderung menggunakan bahasa Hangul berbanding Inggeris dalam setiap urusan.

“Sejujurnya saya juga masih kurang fasih dalam bahasa Korea, tapi saya mampu berkomunikasi untuk perkara-perkara asas untuk kemudahan kehidupan di sini selain saya juga harus belajar lebih lagi terutama dalam penulisan.

“Rutin pemakanan serta cita rasa makan mereka juga lain yang kita perlu sesuaikan.

“Keadaan cuaca empat musim di sini juga menjadi cabaran kerana anda mudah terkena alergi atau kurang sihat kerana cuaca yang agak sejuk.

“Justeru cara pemakaian yang tepat harus diambil berat bagi mengelakkan sakit yang melarat. Doa yang tidak putus-putus daripada semua serta sentiasa memohon berkat mak ayah merupakan kunci utama yang saya amalkan.

“Begitu juga menjadi hamba bertakwa, manusia berbudi serta sifat baik dan suka membantu orang lain juga memainkan peranan besar kejayaan ini.

Usaha tetap usaha, tapi percayalah tanpa berkat, kita takkan mampu menyempurnakannya,” jelasnya lagi.

Kehidupan di Korea Selatan jelas Kaswandee serba lengkap kerana teknologi dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan amat berguna kepada pengunjung dan rakyat.

Gaya hidup serta makanan mereka banyak memberi kesedaran kepada dirinya untuk mengamalkan cara hidup sihat.

Seperti laluan pejalan kaki yang disertakan tempat bersenam katanya, disediakan di semua daerah termasuk kawasan terpencil bagi memudahkan rakyat melakukan senaman serta makanan mereka amat berkhasiat dan kurang berminyak.

“Tempat mendaki di sini sangat menarik dan mudah kerana laluan yang selamat dibina bagi memastikan setiap peringkat umur boleh mendaki hingga ke puncak.

“Hampir setiap pusat pendakian mempunyai makna dan sejarah tersendiri. Ada tersirat sejarah penting Korea Selatan. Istana raja dan tugu bersejarah yang unik di sini juga banyak untuk diziarahi.

“Sistem pengangkutan seperti bas dan kereta api sangat efisien dan menepati waktu.

Suasana musim bunga terutama bunga sakura dan musim luruh sangat indah dan mempesonakan,” kongsinya lagi.

Terima kasih semua

Dalam kesempatan itu Kaswandee merakamkan penghargaan kepada Profesor Man Soo Joun, selaku penyelia yang sentiasa menasihatinya, sentiasa memberi sokongan berterusan dan kesabarannya semasa pengajian PhD.

“Beliau mengajar saya tentang mekanik dan sains bahan bersama kemanusiaan dan moral.

Dengan ini, saya memuji pengetahuannya yang mendalam, sikap yang memberi inspirasi dan sangat positif.

“Pengetahuannya yang mendalam dan praktikal tentang mekanik memberi saya gambaran yang luas tentang bidang ini.

“Saya juga ingin mengucapkan berterima kasih kepada semua rakan makmal saya (Jae Dong Yoo, Hyun Joon Lee, Jong Bok Byun, Su Min Ji, Nurul Aqilah dan Afaf Amera) dalam Metal Forming CAE Laboratory, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa di Universiti Kebangsaan Gyeongsang.

“Terima kasih khas kepada Dr. Min Cheol Kim, Dr. Jae Gun Eom, dan Encik Sang Yun Joun dari MFRC atas bantuan mereka dalam isu teknikal semasa pengajian.

Saya begitu menghargai Syarikat Se-il Forging dan Kumdong Metal kerana menyediakan kemudahan eksperimen dan pembuatan selama ini.

“Akhir sekali, ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada rakan-rakan seperjuangan saya di Korea Selatan yang sentiasa bersama-sama saya melalui suka dan duka, jutaan terima kasih kepada Anjugam, Vikrant, Amirah, Phong, Tenzin, Hajar, Yufy, Mohan, Roshadi, Arya, Yujeong, Jonghyun, Juyeon dan ramai lagi.

“Buat rakan-rakan seperjuangan di Malaysia yang tidak henti-henti memberi semangat dan sokongan berterusan sejak dari awal pengajian hingga ke penghujung terutamanya Encik Farid Ferdi, terima kasih banyak-banyak.

“Banyak kenangan tercipta yang tidak dapat dilupakan bersama mereka ini semasa saya berada di sini dan sepanjang hidup saya.

Saya pasti akan mengingati semua detik yang dilalui bersama sepanjang hayat,” katanya lagi.

Timba pengalaman dan berbakti kepada negara Kaswandee juga berkongsi bahawa dia telah menerima tawaran bekerja di Korea Selatan sebagai Penyelidik Latihan di Institut Penyelidikan Kejuruteraan (ERI) dan sebagai Pakar Sokongan Teknikal di Perbadanan Penyelidikan Pembentukan Logam (MFRC) bermula Mac ini.

“Perancangan buat masa sekarang, saya kini sedang cari pengalaman bekerja di Korea Selatan dalam beberapa tahun.

“Insya-Allah jika diberi kemudahan pada masa akan datang saya ingin membuat kolaborasi dengan syarikat-syarikat berkaitan di Malaysia,” ujarnya.

Restu ibu dan ayah

“Salah satu sebab utama saya masih kuat meneruskan pengajian hingga peringkat PhD ini kerana saya melihat ibu bapa saya.

“Perjalanan ini tidak akan lengkap tanpa sokongan keluarga dan saya sangat terhutang budi kepada ayah atas sokongan yang berterusan.

“Begitu juga ibu atas perhatian dan doanya, walaupun beribu-ribu kilometer jauhnya dari tanah air.

“Terima kasih juga kepada adik-adik saya (Intan Liyana Razali, Ummi Zubaidah Razali, Mohd Noor Ezam Razali and Farah Hanim Razali), Pak Usu saya (Alhamshah Sahari), Mak Usu (Salmas Shapiee) atas sokongan yang tidak putus-putus terhadap saya dan juga ahli keluarga saya yang lain.

“Mungkin zaman mereka tiada peluang. Mungkin zaman mereka tidak nampak jalan.

Mungkin kita yang pertama dalam keluarga. Mungkin kita anak yang seterusnya.

“Ambil persoalan tersebut sebagai inspirasi dan motivasi. Namun ia tidak cukup jika tanpa tindakan, persediaan dan kesediaan. “Percayalah, jauh di sudut hati mana-mana ibu bapa pasti ingin melihat anak-anak mereka belajar dan tamat sehingga peringkat tertinggi,” ujarnya lagi.

Kaswandee menasihati anak Sarawak agar sentiasa berdoa, teruskan usaha buat yang terbaik dalam apa-apa juga bidang yang diceburi dan beramal baik dalam kehidupan

“Jangan lupa berjasa dan minta berkat ahli keluarga terutama daripada orang tua kita,” nasihatnya.

Diharapkan kejayaan beliau menjadi ikutan dan contoh lebih ramai lagi anak Sarawak untuk lebih berani mengambil peluang dalam apa-apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang.

Suara Sarawak