Karim ketika ditemu wartawan selepas menghadiri acara Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Dayakdaily Dan Friends of Sarawak Museum (FoSM)

KUCHING: Tindakan melompat parti mencerminkan nilai integriti yang tidak baik bagi seseorang wakil rakyat, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat mengumumkan beliau telah keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) baru-baru ini.

Karim melihat secara peribadi, kegiatan melompat parti ini bertujuan untuk mencari tempat yang selamat bagi menyelamatkan diri sendiri.

“Justeru kita tidak mahu pemimpin seperti ini…sekiranya mereka melihat bahawa peluang yang ada semakin tipis, lebih baik beri peluang tersebut kepada orang yang lebih muda,” katanya.

Karim berkata demikian ketika ditemu wartawan selepas menghadiri acara Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Dayakdaily Dan Friends of Sarawak Museum (FoSM) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Ditanya kebarangkalian Parti Gabungan Sarawak (GPS) untuk mengambil Masir menyertai GPS kelak, Karim mendedahkan bahawa GPS sudah mempunyai calon yang kuat untuk dicalonkan pada pilihan raya yang akan datang.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yakin GPS boleh memenangi pilihan raya, jika diadakan kelak.

“Sebelum ini, Sarawak telah memenangi 19 kerusi daripada 31 yang dipertandingkan dalam pilihan raya.

“Oleh itu, bagi pilihan raya kali ini, saya yakin GPS boleh memenangi lebih banyak kerusi susulan maklum balas baik oleh rakyat ketika Pilihan Raya Negeri 12 (PRN-12) yang lalu,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau kini memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan keluar daripada PSB dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama penyokong akar umbi di kawasannya serta beberapa faktor lain seperti ketidakstabilan politik negara yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Suara Sarawak