KUCHING: Kejohanan Golf P194 Petrajaya edisi ke-13 tahun 2023 bakal ditambah dengan satu lagi kategori baharu iaitu kategori junior.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kategori itu bertujuan untuk membuka peluang dari segi pengalaman bagi pertandingan golf kepada golongan muda khususnya belia di kawasan Samariang, Tupong dan Satok.

“Usaha memupuk semangat kesukanan dalam diri golongan anak muda khususnya belia adalah penting dalam sukan ini agar ia dapat dikembangkan dengan lebih pesat di kalangan mereka pada masa akan datang.

“Malah, pertandingan juga akan dapat dilaksanakan pada tahun depan yang dapat mengembangkan golf dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada peserta dan pemenang kejohanan Golf P194 Petra Jaya edisi ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.

Fadillah (tengah berbaju putih) merakamkan gambar kenangan bersama para pemenang

Sementara itu, Pengerusi Kejohanan Hilmy Othman menzahirkan penghargaan terhadap Ahli Parlimen Petra Jaya atas sokongannya dalam mengelolakan kejohanan tersebut.

Tambahnya, kejohanan yang mula dilaksanakan pada tahun 2008 itu membuktikan sukan mampu mengeratkan silaturahim di antara peserta serta mewujudkan semangat kesukanan yang tinggi.

Beliau turut mengakui usaha melibatkan kategori junior pada temasya akan datang dapat meluaskan sukan terbabit di samping memberi pendedahan kepada golongan belia di Parlimen Petra Jaya.

Kejohanan Golf P194 Petra Jaya Piala Pusingan Datuk Seri Fadillah Yusof Edisi ke-12 dimenangi kumpulan dari Dewan Undangan Negeri Tupong, sekali gus berjaya meleraikan rekod juara bertahan sejak 2019 iaitu kumpulan Dun Satok, dan diikuti oleh kumpulan Samariang.

Suara Sarawak