KUCHING: Pasukan Kuching City FC (KC FC) masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung penundaan perlawanan menentang PDRM di gelanggang lawan pada 7 Mac ini.

Pengerusinya Fazzrudin Abdul Rahman memberitahu, ia berikutan terdapat permasalahan yang dialami pasukan PDRM ketika ini.

“Kami belum menerima sebarang maklum balas rasmi, tetapi dikhabarkan terdapat sedikit permasalahan dialami pasukan PDRM,” ujar Fazzrudin kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Fazzrudin, seandainya sah perlawanan sulung itu ditunda ke satu tarikh baharu, ia merupakan ruang untuk pengemudi pasukan (Irfan Bakti Abu Salim) terus memperkemaskan jentera segenap posisi.

Terdahulu Fazzrudin mengakui, berpuas hati dengan persiapan pasukannya yang kini memasuki fasa akhir.

“Irfan sudah memperkemaskan kelemahan yang dikenal pasti selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini,” tambah Fazzrudin lagi.

TERUS FOKUS…Pengemudi KC FC, Irfan Bakti (kanan) memberitahu sesuatu kepada pemainnya ketika sesi latihan. – FOTO GHAZALI BUJANG

Suara Sarawak