Bomba melakukan pemantuan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat.

BINTANGOR: Penghuni sebuah premis di Jalan Chung San di sini kecoh apabila salah satu penyaman udara di tingkat satu bangunan dua tingkat itu dilaporkan hangus gara-gara puntung rokok.

Insiden kira-kira jam 6.45 petang semalam itu disedari salah seorang penghuni selepas tercium bau sesuatu yang terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 petang.

“Pihak bomba bertindak memotong kunci mangga sebelum berjaya memasuki premis terbabit.

“Sebaik sahaja berjaya masuk, kita melakukan pemeriksaan dan mendapati tiada berlaku kebakaran pada penghawa dingin tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, laporan dibuat oleh salah seorang penghuni selepas mengesyaki ada kebakaran yang dipercayai berpunca daripada puntung rokok dibuang dari tingkat atas bangunan.

“Kita juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai. Operasi berakhir pada jam 7.10 malam,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuang punca api dengan sesuka hati bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Suara Sarawak