Kelab sukan, rekreasi jalin persahabatan antarabangsa
FAZZRUDIN bersama-sama ahli kelab Sukan Rekreasi Permotoran VAK Bandar Kuching.

KUCHING: Kelab Sukan Rekreasi Permotoran VAK Bandar Kuching berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi program aktiviti jelajah tahunan di Indonesia dan Brunei sebelum ini.

Penaung kelab Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ia sekali gus mencipta nama dan mewujudkan ikatan persahabatan antarabangsa antara kelab yang berasal dari Kuching itu dengan beberapa kelab pencinta kereta klasik (Volkswagen).

Adun Tupong itu berkata, usaha mengadakan aktiviti bertaraf antarabangsa itu perlu dipupuk selaras dengan pencapaian kelab itu setakat ini selepas ditubuhkan pada 2013.

“Setinggi-tinggi tahniah ke atas kewujudan kelab ini, kita dapat melihat aktiviti dilaksanakan bukan berkisarkan aktiviti di Kuching sahaja tapi bertaraf antarabangsa.

“Ahli-ahli kelab berjaya menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan negara jiran termasuk di Brunei dan Indonesia.

“Secara tidak langsung apaapa yang dilaksanakan secara organisasi berkumpulan adalah menyasarkan pelaksananaan objektif kelab,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam ‘Iron Bug Lovers Night’ persatuan tersebut di salah sebuah hotel di Kuching, Isnin.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan geran berjumlah RM10,000 kepada kelab.

“Diharapkan dengan adanya geran tersebut, dapat merancakkan lagi pelaksanaan program dan aktiviti kelab pada masa akan datang termasuk objektif kelab untuk menghimpunkan golongan belia berkecimpung dalam program yang akan dianjurkan,” katanya.

Pada majlis ringkas tersebut turut menyaksikan lebih 10 kereta klasik Volkswagen dipamer oleh pemilik yang juga ahli kelab berkenaan.

Suara Sarawak