KUCHING: Keadaan cuaca hujan dan suhu yang sangat sejuk tidak menghalang pendaki Kelab Kembara Anak Sarawak (Kembara) menawan puncak Gunung Murud, Pulong Tau berketinggian 2,423 meter dari aras laut, baru-baru ini.

Presiden Kembara Yusuf Buji berkata seramai 23 orang ahli Kembara menyertai Ekspedisi Menawan Puncak Murud berkenaan, yang bermula pada 6 Mac (Ahad) lalu.

“Pada Ekspedisi kali ini, para pendaki Kembara berlepas dari Kuching ke Miri dan kemudian terbang ke Lawas terus menuju ke Ba’Kelalan menaiki pacuan empat roda.

“Para pendaki bertolak ke Lepo Bunga untuk mula mendaki sehingga ke Church Camp (persinggahan pertama sebelum menaiki puncak), dengan mengambil masa empat jam.

“Para pendaki kemudian bertolak mendaki puncak dengan mengambil masa 4 jam 40 minit,” katanya yang dihubungi, semalam.

Yusuf berkata, ekspedisi Kembara itu adalah sebagai usaha kelab mempromosikan gunung di Sarawak selain membawa ahli-ahli baru merasakan pengalaman mendaki gunung.

Selain itu, katanya ekspedisi kali ini juga sebagai menjenguk Papan Tanda Puncak Gunung Murud yang dipacak pada tahun 2019.

“Ekspedisi berakhir dengan singgah semalam di Merarap Hot Spring Longe untuk berehat,” katanya.

Ekspedisi disertai oleh Evelin Ruman, Mohamad Zamahari Abdullah, Danny Jabing, Najib Jeman, Dyg Shamsinar Abng Shamsudin, Zulkifli Johari, Dyg Annuriza Awang Sapuani, Dewi Susanti Joli, Nurul Aini Rosdi, Suriani Abdul Latif, Sueronie Mahli, Mohteah Kassim, Dr. Sara Azreen, Ripit Seman, Jinoi Raop, Alvin Vincent Abeng, Che Rafidi Che Mat, Mohd Aizuddin, Nordianah Sebli, Aisya Saidatina Khadijah, Kamarul Ariffin Mohamad dan Evonne Lee.

Suara Sarawak