KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengumumkan pelancaran kempen Sia Sitok Sarawak (SSS) 3.0 dan Sia Sitok Sarawak Accommodation (SSSA) 2.0 dengan tawaran menarik.

STB dalam kenyataan berkata, tawaran eksklusif untuk rakyat Sarawak dan bukan warga Sarawak yang menetap di negeri ini dengan permit kerja, akan menikmati lebih 88 pakej pelancongan menarik merangkumi lawatan sehari dan lawatan berbilang hari.

Kempen SSSA 2.0 itu turut menawarkan pakej penginapan menarik, hotel tempatan dan resort di bawah Hotel’s Sarawak Chapter menerusi laman sesawang hotelsarawak.com.my.

Tempoh tempahan untuk kedua-dua tawaran bermula sekarang hingga 30 April, bagi tempoh perjalanan dari sekarang hingga 31 Mei 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh berkata, pihaknya memulakan kempen Sia Sitok Sarawak sebagai langkah untuk meningkatkan industri pelancongan tempatan ketika pandemik serta usaha memulihkan ekonomi Sarawak.

“Kami berbesar hati kerana jenama dan kempen tempatan ini berkembang dan mengukuhkan keyakinan kami terhadap budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan di negeri ini.

“Dengan SSS 3.0 dan SSSA 2.0, kami memperluaskan bilangan pakej yang ada, memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak untuk menerokai keunikan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya optimis kempen itu akan menyumbang ke arah merealisasikan sasaran pelancongan negeri bagi tahun ini.

Tambahnya, STB akan terus memberi tumpuan kepada membina dan mencipta cara baharu menjalankan perniagaan melangkaui pandemik Covid-19.

“Kami menyeru rakyat Sarawak untuk memanfaatkan peluang eksklusif ini dan merebut tawaran SSS 3.0 dan SSSA 2.0 terhad.

“Tidak ada cara yang lebih baik untuk melancong selain dengan rakan dan keluarga serta peluang lebih baik untuk menemui budaya, pengembaraan dan alam semula jadi yang indah di Sarawak,” katanya.

Antara pakej dan aktiviti menarik untuk direbut termasuk aktiviti berbasikal matahari terbenam yang meliputi 85 peratus pemandangan Kuching seperti yang disenaraikan oleh Lonely Planet, menerokai Warisan Bung Jagoi, sebuah perkampungan Bidayuh lama yang ditubuhkan 175 tahun lalu, serta pelayaran pagi untuk melihat ikan lumba-lumba Irrawaddy.

Selain itu terdapat pakej penjelajahan ke Kampung Pesisir Tengah di Bruit, Daro dan Matu, percutian Bakun selama tiga hari dua malam atau melawati Mukah, The Melanau Heartland.

Di Mulu, pelancong berpeluang menikmati keindahan Taman Negara Mulu, keindahan puncak batu kapur, air terjun, sungai dan rangkaian gua termasyhur dunia.

Layari www.siasitok.sarawaktourism. com untuk maklumat lanjut berkenaan kempen Sia Sitok Sarawak 3.0 dan Sia Sitok Sarawak Accommodation 2.0.

Suara Sarawak