Program Sia Sitok Sarawak yang dianjurkan STB

KUCHING: Pameran Kembara Sarawak 2022 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) adalah kesinambungan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datuk Salleh Askor berkata, ia selaras dengan tujuan utama STB untuk menjadikan pelancongan domestik sebagai salah satu tumpuan pasaran.

Malah katanya, ia juga tepat pada masanya sejak syarikat penerbangan Maswings telah meningkatkan penerbangan ke kawasan Bintulu, Miri, Limbang, Lawas, Mukah dan Sibu.

Menurut Sharzede, Program Sia Sitok Sarawak 3.0 merupakan peluang terbaik bagi rakyat tempatan untuk meneroka semula keindahan yang terdapat di tanah air mereka.

”Justeru, program Sia Sitok Sarawak kembali dengan 30 produk baharu menjadikan ia sebanyak 88 pakej pelancongan yang boleh dipilih serta diskaun 50 peratus untuk masa yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara, pihak STB turut menganjurkan sebuah Program Sia Sitok Sarawak TravelChat di Atrium Ground Floor, Boulevard Shopping Mall dari 18 hingga 20 Mac ini bagi mendedahkan pakej yang terdapat dalam program tersebut di samping mengalu-alukan kedatangan orang ramai yang berminat membuat tempahan pelancongan.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web rasmi www.siasitok.sarawaktourism.com untuk maklumat lanjut mengenai Penginapan Sia Sitok Sarawak dan Sia Sitok Sarawak.

Suara Sarawak