LAWATAN… Fatimah mengadakan lawatan ke gerai pameran anak berkeperluan khas selepas Majlis Perasmian Pameran Bakat Anak Berkeperluan Khas di Dewan Besar, Sekolah Menengah Chung Hua No.3 Kuching, semalam.

KUCHING: Usaha untuk mengenal pasti dan mengembangkan bakat anak berkeperluan khas sejak kecil merupakan langkah yang sangat penting, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu mendedahkan perkara itu sekali gus memuji aktiviti Pameran Bakat Anak Berkeperluan Khas (I Got Talent) yang berlangsung selama dua hari pada hujung minggu ini.

Menurutnya, ia program yang menghargai kebolehan pelbagai penduduk berkeperluan khas dan selaras dengan objektif serta aspirasi Kerajaan Sarawak dan kementeriannya.

“Justeru, saya amat berbesar hati kerana kanak-kanak berkeperluan khas berpeluang mempamerkan bakat mereka dalam pelbagai aktiviti seperti membaca puisi, menari, bermain piano dan juga mengambil peranan sebagai juruacara (emcee),” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Pameran Bakat Anak Berkeperluan Khas di Dewan Besar, Sekolah Menengah Chung Hua No.3 Kuching, semalam.

Tambahnya, kanak-kanak berkeperluan khas di kedai kopi mini dan produk yang dipamerkan di gerai oleh Pertubuhan Berkaitan Keperluan Khas mampu memberi pendedahan kepada masyarakat di negeri ini tentang perkara yang boleh dilakukan oleh golongan tersebut.

Sehubungan itu, beliau juga memuji jawatankuasa penganjur khususnya Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Bakat Insan Istimewa Kuching (KATSN) yang merancang untuk mewujudkan platform maklumat bagi keluarga orang kelainan upaya (OKU) termasuk menyediakan sumber membantu kanak-kanak berkeperluan khas mencari bakat dan pembangunan kerjaya.

“Saya bersetuju bahawa sudah tiba masanya kita meneroka lebih banyak peluang untuk membangun dan memperkasakan OKU, saya percaya ada bidang kebolehan lain yang boleh diceburi dan mereka juga perlu dilatih berdasarkan minat masing-masing.

“Penyediaan peluang pekerjaan kepada OKU adalah penting kerana ia membolehkan mereka memperolehi pendapatan serta meningkatkan nilai, keyakinan dan harga diri.

“Jika mereka bagus dalam sukan, maka latihan dalam sukan boleh diberikan, kementerian juga telah memperkenalkan program mengenal pasti bakat seluruh negeri dalam bidang sukan untuk OKU yang bertujuan mencari bakat baharu,” ujarnya.

SIMBOLIK PERASMIAN… Fatimah (lima kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Pameran Bakat Anak Berkeperluan Khas di Dewan Besar, Sekolah Menengah Chung Hua No.3 Kuching dan turut kelihatan adalah Mei Yek (empat kiri), semalam.

Suara Sarawak