Abang Johari merakam kenangan selepas Majlis Perasmian Persidangan Pemuliharaan Malaysia anjuran Perbandanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Pelan Tindakan Sarawak Lestari untuk membimbing semua agensi kerajaan, perniagaan dan komuniti dalam mencapai matlamat kemampanan yang diingini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan tersebut adalah bagi menangani kebimbangan berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber asli.

“Dalam masa yang sama, ia membantu usaha pengurangan dan penyesuaian terhadap perubahan iklim bagi mewujudkan persekitaran yang membolehkan pembangunan infrastruktur moden seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 (IR 4.0) negara,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Pemuliharaan Malaysia anjuran Perbandanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Sarawak juga bercadang untuk mengutamakan kelestarian alam sekitar dan menyelaraskan perancangan pembangunannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi meneruskan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dengan pendekatan bertanggungjawab ke arah pembangunan sumber aslinya.

Suara Sarawak