Kerajaan Sarawak sentiasa beri sokongan kepada SU FC, KC FC

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan terhadap pasukan Sarawak United FC (SU FC) dan Kuching City FC (KC FC) yang bersaing dalam kempen Liga Malaysia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sokongan tersebut bukan hanya dari segi menyediakan kemudahan sukan untuk latihan tetapi mencakupi sumber kewangan menerusi dana yang diberikan setiap tahun.

Menurutnya, walaupun kedua-dua pasukan itu bermain atas status kelab, namun mereka membawa nama Sarawak.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri Sarawak menerusi kementerian saya tidak mahu membiarkan kedua-dua pasukan ini bermasalah terutamanya jika membabitkan masalah gaji dan sebagainya,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan SU FC 2022, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau percaya SU FC mampu membuat kejutan disebalik penampilan pertama dalam kancah Liga Super 2022.

“Mana-mana pasukan sekiranya dilatih dengan baik, saya percaya mereka boleh menonjol dan begitu juga dengan SU FC untuk saingan musim ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap dengan jersi baharu SU FC tersebut, ia mampu mencetus semangat tambahan buat pemain dalam mengharungi perlawanan Liga Super 2022.

Suara Sarawak