Foto : Bernama

RAMAI yang agak terkejut apabila ‘gelombang biru’ (Barisan Nasional) menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke15 Sabtu lalu.

Mereka bukan sekadar menang, tetapi menang dengan bergaya, sekali gus menafikan misi Pakatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), yang kini hanya tinggal harapan.

Nampaknya landskap politik Johor lebih sinonim dengan warna biru, sama dengan warna jersi kelab bola sepak kebanggaan rakyat negeri paling selatan itu, Johor Darul Ta’zim atau lebih dikenali sebagai JDT.

Kebiasaannya pasukan terhandal di Malaysia itu, bukan sahaja menang setiap kali turun ke gelanggang, tetapi menang dengan jaringan yang besar.

Dengan menawan 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali ini, memberi gambaran jelas bahawa rakyat Johor mengikut ‘jejak’ rakyat Melaka dan Sarawak.

PH pula meraih 13 kerusi, manakala PN hanya tiga kerusi.

Pada PRN Melaka tahun lalu menyaksikan BN menang 21 kerusi daripada 28, manakala pada PRN Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendominasi 76 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pada PRN Johor, BN meraih 599,753 undi popular atau 43.11 peratus, berbanding PN 334,457 undi atau 24.04 peratus dan PH 284,969 (20.48 peratus undi).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding menggunakan logo sendiri memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang muncul buat pertama kali meraih 48,072 undi atau 3.46 peratus undi.

Undi popular merujuk kepada jumlah undi yang diraih oleh setiap parti atau gabungannya.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.

Yang pasti, peratusan undi popular yang memihak kepada BN adalah sokongan pengundi setia yang mahu gabungan itu mengambil alih semula pentadbiran negeri.

Prestasi popular Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mempertaruhkan konsep Keluarga Malaysia banyak menyumbang undi berkenaan.

Malah beliau juga kerap membantu golongan terkesan akibat Covid-19 terutama peniaga Cina dengan pelan-pelan yang cukup tersusun dan terancang. Ini membuktikan bahawa politik stabil menjadi pilihan rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini, negara belum bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak Omicron.

Rakyat sedar bahawa, kehidupan mereka yang terjejas sepanjang pandemik sejak Mac 2020 hingga kini amat memerlukan bantuan, dan mereka menyedari bahawa ia akan menjadi lebih mudah melalui kerajaan stabil, berpengalaman dan prihatin untuk membela nasib mereka.

Ia bermakna, pilihan mereka lebih ke arah dasar kepemimpinan yang sentiasa berpegang kepada prinsip rakyat didahulukan, bukannya dasar kepemimpinan yang berunsurkan kepentingan peribadi yang sering berbalah sesama sendiri.

Peristiwa penting politik tanah air pasca-Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14) sepanjang 22 bulan memberi kesedaran tinggi kepada rakyat, bahawa betapa pentingnya kestabilan dalam pentadbiran negara, sekali gus merangka hala tuju masa depan.

Ini kerana masa akan lebih terarah kepada pelan dan perancangan untuk kepentingan rakyat dan negara, kerana tiadanya masa untuk persengketaan.

PRU-15 dalam masa terdekat?

Adakah kemenangan besar BN di Johor memberi isyarat bahawa PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun ini, atau sekitar Julai hingga Ogos?

Keputusan PRN Johor yang seiring dengan keputusan PRN Melaka dan PRN Sarawak mengukuhkan lagi jangkaan tersebut. Ini bermakna sudah ada ‘momentum kemenangan’.

Dalam konteks psikologi, rentak kemenangan akan berterusan dalam satu tempoh tertentu, yang tidak terlalu lama.

Kata orang tua-tua dahulu; “Jika sampan sudah tersedia, tidak ada lagi lubang-lubang kecil yang boleh dimasuki air, adalah lebih elok untuk memulakan pengembaraan, apatah lagi kayuh sudah pun berada dalam genggaman. Kalau ditunggu lagi, takut hujan turun, atau ribut petir”.

Namun ia juga bergantung kepada situasi dan keadaan.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan terburuburu dalam membuat keputusan penting.

“PRU-15 hanya akan diadakan setelah BN bersedia sepenuhnya.

Kami perlu melakukan penelitian secara mendalam, serta mengambil kira semua pendapat sebelum Dewan Rakyat dibubarkan,” katanya.

“Semua keputusan mesti dibincangkan secara serius dalam parti… ini pilihan raya, perkara yang besar.

Jadi parti akan bincang dan akan buat keputusan selepas itu, mungkin beberapa perkara lain juga perlu dilihat, ada prosedur,” tegas Ismail Sabri.

Yang pasti, ancaman Covid-19 bukan lagi penghalang pilihan raya sekarang ini, setelah negara kita berpengalaman melaluinya, bermula daripada PRN Sabah pada 2020, diikuti Melaka, Sarawak dan Johor serta beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia telah pun dilakukan oleh kebanyakan negara.

Malah negara kecil, Singapura mengadakannya dalam keadaan kes positif sedang mencanak.

Peratusan keluar mengundi rendah

Daripada empat PRN sepanjang 2020 hingga 2022 ini, PRN Johor mencatat peratusan keluar mengundi paling rendah, iaitu hanya 54.92 peratus, berbanding Sabah (66.61 peratus), Melaka (65.85 peratus) dan Sarawak (60.67 peratus).

Penurunan tersebut ada kaitan dengan keadaan semasa, Covid-19, menyebabkan rakyat lebih fokus kepada hal-hal lain, terutama ekonomi keluarga yang terkesan sejak lebih dua tahun kebelakangan ini.

Namun dalam konteks demokrasi, keadaan ini amat merisaukan dan ia tidak baik untuk jangka panjang.

Suara rakyat yang layak mengundi hanya berkumandang di luar peti undi. Oleh itu kita tidak tahu bagaimana pula pilihan mereka, sekiranya peratusan keluar mengundi pada PRU-15 nanti, berubah drastik, mungkin mencecah 70 hingga 80 peratus.

Kehadiran 20 hingga 30 peratus pengundi yang tidak turun mengundi pada PRN sudah pasti akan mempengaruhi keputusan pada PRU-15 nanti, apatah lagi jika ia membabitkan majoriti golongan muda (Undi 18).

Namun kita juga tidak boleh beranggapan bahawa golongan ini akan memilih parti tertentu, boleh jadi ya, boleh jadi tidak.

Ataupun golongan ini, tampil sebagai pengundi di atas pagar, membuat keputusan pada saat-saat akhir, menjelang proses pengundian.

Oleh itu, setiap kemenangan parti perlu disusuli dengan kerja keras bagi mengukuhkan lagi kedudukan, dan kepercayaan terhadap pengundi.

Jika tidak, mereka yang mengundi anda pada PRN akan membuat pusingan U pada PRU nanti.

Ingat, parti pemerintah perlu belajar daripada sejarah, bahawa PRU-14 telah membuktikan bahawa, rakyat boleh mengubah kerajaan dalam sekelip mata walaupun terhadap kerajaan yang telah pun lebih separuh abad berkuasa.

Itulah kuasa rakyat. Yang pasti, kempen kesedaran mengundi dalam kalangan rakyat perlu diperhebatkan lagi, lebih-lebih lagi pengundi muda.

Kumpulan muda ini, hendaklah diberi pendedahan yang sewajarnya, bukan sahaja tentang tanggungjawab terhadap negeri, negara dan bangsa, tetapi juga kesedaran dalam membuat pilihan, berdasarkan pengamatan dan kematangan, bukannya memangkah secara semberono, hanya terpengaruh dengan janji-janji palsu, seperti yang berlaku pada PRU-14.

Di samping itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu mengenal pasti mekanisme yang boleh dipertimbangkan untuk memudahkan proses pengundian bagi pengundi layak yang tidak dapat pulang ke pusat pengundian masing-masing.

Dalam menuju era digital ini, sewajarnya kita mempunyai sistem pengundian yang boleh disertai mereka yang berada jauh dari kawasan masing-masing, tanpa perlu balik kampung yang bukan sahaja memerlukan kos, tetapi juga risiko kesihatan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu ini. Ia adalah antara solusi untuk memperbaiki peratusan pengundian, sekali gus meningkatkan jumlah keluar mengundi di semua kawasan.

Realitinya, keputusan PRN Johor memberi petanda yang lebih jelas bahawa ‘bahang PRU15’ mula menyala.

Perhimpunan Umno nanti, bakal memberi jawapan kepada persoalan tersebut, sama ada ia akan diadakan dalam masa terdekat, atau kena ‘tunggu dulu’, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri.

Namun menurutnya, perbincangan teliti dan suara majoriti akan menjadi penentu, sama ada ia perlu disegerakan atau sebaliknya.

Yang pasti, bola kini berada di kaki mereka, sama ada untuk ‘merembat’ terus atau masih menunggu masa yang paling sesuai untuk ‘menyepak padu’ bagi memastikan bola masuk ke gawang dan menggegar jaring.

Suara Sarawak