KUCHING: Kes kanak-kanak berumur 4 tahun sembilan bulan yang dilaporkan hilang di Taman Riverview, Bintawa, di sini sejak 7 Mac lalu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata berdasarkan siasatan terkini, kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kini diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dua orang suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan diteruskan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha pencarian mangsa diperluaskan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5 Kuching, serta bantuan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan Sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian memandangkan kes masih dalam siasatan.

Suara Sarawak