Lee mendengar taklimat pembangunan Tasik Biru dari Henry pada lawatan kerja di Tasik Biru, semalam.

BAU: Kementerian Pengangkutan melalui Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan sentiasa memantau keselamatan kemudahan pengangkutan air di negeri ini.

Menterinya Datuk Lee Kim Shin berkata, ia termasuk aktiviti pelancongan di kawasan tasik yang menggunakan bot sebagai kemudahan pengangkutan.

“Pihak kita sentiasa memantau semua jenis kemudahan pengangkutan bagi memastikan ia disediakan dengan mematuhi semua langkah-langkah keselamatan di bawah Ordinan Sungai Sarawak.

“Ia termasuk pengangkutan seperti bot yang disediakan di sini kerana kita mahu keselamatan penumpang terus terjamin,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Tasik Biru, hari ini.

Dalam pada itu, Lee berkata beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan serta kemudahan yang disediakan termasuk menyediakan jaket keselamatan serta penggunaan ponton terapung.

“Kawasan ini amat berpotensi, melihat kepada pelan pembangunan Tasik Biru, saya percaya ia bakal menjadi destani pelancongan popular di Sarawak selain sudah mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan, jalan raya serta sebagainya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lee memberitahu orang ramai juga boleh datang ke Tasik Biru di Bau menggunakan perkhidmatan bas awam dengan tambang hanya RM1 sekali perjalanan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan II merangkap ADUN Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.

Suara Sarawak