KUALA LUMPUR: Ketua Jabatan diwajibkan supaya membenarkan, atau mengarahkan pegawai yang kematian suami atau isteri untuk bekerja dari rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) seperti diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) SR5.2.1.

Menerusi surat edaran yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shaq Abdullah hari ini, tempoh pemberian BDR itu hendaklah yang bersesuaian dan tidak melebihi tempoh dua minggu termasuk hari kelepasan mingguan, hari rehat mingguan dan hari kelepasan am.

Bagaimanapun, menurutnya ia tertakluk kepada pertimbangan Ketua Jabatan.

“Penambahbaikan peraturan ini dilaksanakan melalui MyPPSM Ceraian SR.4.1.2: Dasar Bekerja Dari Rumah berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan,” katanya.

Mohd Shaq berkata penambahbaikan dasar BDR itu selaras dengan hasrat kerajaan memberi perhatian dalam aspek kebajikan pegawai perkhidmatan awam, dan dalam masa yang sama perlu meningkatkan kualiti, produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.

Ia selaras dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Wanita 2022 pada 8 Mac lepas.

Dasar BDR diperuntukkan melalui MyPPSM Ceraian SR.4.1.2: Dasar BDR bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan berkuat kuasa 1 Jan 2021. — BERNAMA

Suara Sarawak