MERIAH…. Penduduk yang menyertai gotong-royong tersebut.

KANOWIT: Telaga Kumang di Bukit Melapi yang terletak tidak jauh dari Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun dekat sini berpotensi menjadi tarikan kepada orang luar.

Adun Ngemah Anyi Jana berkata, oleh itu kawasan tersebut hendaklah dijaga dengan baik agar keindahannya terus dijadikan tumpuan ramai. Beliau berkata demikian ketika merasmikan aktiviti gotong-royong membersihkan Telaga Kumang di sini, pada Rabu.

Program tersebut anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah yang telah disertai penduduk setempat. Menurut beliau, Telaga Kumang bertempat di Bukit Melapi, Ngemah ini merupakan satu tempat yang sangat menarik di kawasan Ngemah dan menjadi tempat ritual bagi masyarakat Iban yang masih menggunakan adat lama.

Peserta ketika membersihkan Telaga Kumang tersebut.

“Telaga Kumang ini bukan sahaja tempat ritual malahan ada juga orang dari luar kawasan Ngemah sanggup datang melawat untuk melihat sendiri keunikan Telaga Kumang di Bukit Melapi, Ngemah ini,” ujarnya.

Beliau menasihati semua pelawat dan mereka yang membuat upacara miring di tempat tersebut agar terus menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Beliau berkata, kedudukan Telaga Kumang di Bukit Melapi, Ngemah ini sangat menarik  kerana berada di atas bukit dan juga bersebelahan dengan bahu Jalan Kanowit-Song. Telaga Kumang merupakan tempat seorang dewa Iban yang jelita mandi dan kedudukannya selalu dijumpai di atas bukit, kaki bukit atau di pertengahan bukit.

UPACARA… Anyi ketika menyempurnakan upcara miring sebelum memulakan aktiviti gotong-royong tersebut.

Di Sarawak terdapat beberapa Telaga Kumang antaranya di Sibu iaitu di Bukit Aup, Sri Aman (Bukit Lingga), Kuching (Gunung Santubong) dan sebagainya.

Bagi masyarakat yang masih mengamalkan adat lama, mereka menggunakan Telaga Kumang ini untuk memohon keberkatan atau membalas keberkatan yang diberikan.

Menurut cerita orang dahulu, air Telaga Kumang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit, boleh menjadikan seseorang cantik dan tampan serta ia juga air yang luar biasa. Ia juga sesuatu tempat yang keras dimana tidak kurang orang pernah melihat atau menceritakan pernah melihat rombongan Kumang ini berserta dayang-dayangnya mandi di telaganya pada waktu malam.

Kewujudan Telaga Kumang juga adalah sesuatu yang aneh kerana airnya tidak pernah kering dan sentiasa berkeadaan bersih walaupun tiada aliran sungai menghubungkannya apatahlagi kedudukannya di atas bukit amatlah luar biasa.

Suara Sarawak