KUCHING: Kolaborasi inovasi yang strategik antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian, agensi dan jabatan di Sarawak perlu diwujudkan kerana diyakini dapat melonjakkan lagi pelaksanaan inisiatif digital.

Pengarah MPC Wilayah Sarawak berkata kerjasama antara pihak tersebut boleh dilaksanakan melalui program berteraskan Malaysia Productivity Blueprint (MPB-Nexus), RMK12 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang berfokus kepada Transformasi Digital.

“Pihak MPC serta Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri sentiasa komited melaksanakan kolaborasi inovatif bagi mengerakkan inisiatif peningkatan produktiviti organisasi melalui program sama ada secara maya atau sebaliknya.

“Justeru, organisasi di Sarawak perlu terus menyokong dan mengambil manfaat program yang dianjurkan bagi tahun 2022 selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memacu ekonomi berasaskan digital,” katanya.

(Duduk, kiri): Fasilitator Bengkel MPC Dr Izhar Che Mee, Pengarah Ibu Pejabat MPC Zaffrulla Hussein, Pengarah MPC Wilayah Sarawak Nor Hafizah Mohd Arop dan Pengarah Ibu Pejabat MPC (Bahagian Pertumbuhan Produktiviti) Dr Mohamad Norjayadi Tamam merakamkan kenangan bersama para peserta Bengkel Semakan Indikator Ketersediaan dan Penerimagunaan Digital Negeri Siri 1/2022

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Semakan Indikator Ketersediaan dan Penerimagunaan Digital Negeri Siri 1/2022 di Waterfront Hotel, di sini, hari ini.

Beliau turut menzahirkan agar hubungan baik antara MPC dan organisasi di Sarawak dapat dikekalkan agar lonjakkan produktiviti dan peningkatan daya saing bukan hanya di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat global dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai kedudukan Malaysia dalam IMD Persaingan Digital Dunia (World Digital Competitiveves).

Katanya, Malaysia berada di kedudukan 27 dari 64 buah negara secara keseluruhan dari aspek daya saing digital dunia.

“Malaysia kekal di kedudukan 22 bagi aspek pengetahuan manakala nombor 26 dari sudut teknologi dan 29 bagi kesediaan ke arah transformasi digital,” katanya.

Suara Sarawak