JAMIN MASA DEPAN SARAWAK

Sarawak bakal mempunyai sebuah sekolah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baharu di Bintulu pada akhir tahun ini.

Sekolah baharu berlatar belakang pemandangan indah Laut China Selatan, terletak di kawasan berbukit seluas 26,000-meter persegi di laluan lebuh raya Bintulu-Tatau. Sehingga kini, kemajuan projek pembinaan kampus MRSM Bintulu telah mencapai 70 peratus dan dijangka akan siap pada suku ketiga tahun ini sebelum diserahkan kepada MARA untuk beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.

MRSM Bintulu yang bakal menempatkan 450 pelajar merupakan kampus yang keempat dibina di Sarawak selepas MRSM Kuching, Mukah dan Betong.

Kampus bernilai RM101 juta ini akan dilengkapi dengan kemudahan seperti blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, bangunan pentadbiran, pusat pelajar, dewan makan, dewan serba guna, astaka dan surau. Selain kemudahan tersebut, sekolah berasrama penuh ini jua merangkumi kediaman kakitangan dan guru, kuarters pengetua, kuarters timbalan pengetua (3 unit), kuarters ketua warden, kuarters warden (8 unit), kuarters guru (8 unit), kuarters kakitangan (8 unit) dan bangunan sampingan.

Menerusi kerjasama erat antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Sarawak serta Majlis Amanah Rakyat (MARA), pembinaan kampus MRSM di Bintulu bakal mempertingkatkan lagi pembangunan modal insan di negeri ini terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS Farehana Hanapiah berkata, pembinaan kampus ini merupakan hasrat PETRONAS untuk memberi penekanan kepada pendidikan STEM demi mencapai hasil yang optimum menerusi kerjasama tersebut.

Tambahnya, usaha ini mengukuhkan lagi komitmen PETRONAS dalam Pendidikan STEM terutama di kalangan pelajar kumpulan B40 di Sarawak.

“Pelaburan pendidikan terutamanya dalam bidang STEM kekal menjadi keutamaan PETRONAS. Pihak kami amat komited dalam usaha untuk terus mengalakkan minat pelajar dalam STEM serta mewujudkan masa depan yang mampan untuk bakat muda di Sarawak melalui pembinaan MRSM Bintulu.

Kemajuan projek pembinaan kampus MRSM Bintulu telah mencapai 70 peratus dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan. Bangunan ini bakal dilengkapi dengan blok akademik, pusat sumber, hostel pelajar, bangunan pentadbiran, pusat pelajar, dewan makan, dewan serba guna, pavilion, surau, kediaman kakitangan guru, kuaters pengetua, kuaters timbalan pengetua, kuaters ketua warden, kuaters warden, kuaters guru, kuaters kakitangan dan bangunan sampingan.

“Justeru, adalah wajar dan tepat pada masanya untuk kita bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak (melalui Yayasan Sarawak) dan MARA untuk menubuhkan sekolah ini. PETRONAS memberi sumbangan dari segi pembangunan infrastruktur, Yayasan Sarawak menyediakan tapak tanah manakala MARA akan mengendalikan pentadbiran sekolah,” tambahnya.

Beliau turut berkata pelaburan dari sudut pendidikan dan pembangunan modal insan di semua peringkat akan membantu mewujudkan kumpulan bakat yang berterusan untuk PETRONAS, industri minyak dan gas serta negara.

“Di samping hasrat untuk merealisasikan matlamat perniagaannya, PETRONAS terus mengekalkan sumbangannya terhadap pembangunan mampan negara melalui penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti, menggalakkan aktiviti pembelajaran dan pembangunan serta membolehkan pelajar yang terpilih merealisasikan inspirasi kerjaya mereka,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan PETRONAS menggunapakai pendekatan bersepadu untuk membantu membangunkan masyarakat secara menyeluruh merangkumi pelaburan yang luas dalam tiga bidang: Infrastruktur, Program dan Pelajar (dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi).

PETRONAS menyumbang kepada pembangunan modal insan di Sarawak melalui pelbagai pelaburan program pendidikan. Sebagai contoh, sehingga kini lebih 900 pelajar Sarawak telah mendapat manfaat daripada program Penajaan Pendidikan PETRONAS.

Manakala, seramai 1,015 pelajar Sarawak telah menamatkan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP); 2,063 pelajar Sarawak dari Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP); dan 128 pelajar Sarawak dari Akademi Laut Malaysia (ALAM).

422 graduan Sarawak juga telah mendapat manfaat daripada program Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) – bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu untuk mendapatkan pekerjaan jangka panjang atau menubuhkan perniagaan mereka sendiri selepas menamatkan program tersebut.

PETRONAS juga menubuhkan kemudahan pusat sains iaitu Petrosains Playsmart di Kuching yang telah dilancarkan pada November 2019.

Program Bantuan Tajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) juga sedang dijalankan di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak Awisar, Centexts Kuching dan Institut Latihan Perindustrian Miri.

Selain itu, PETRONAS turut melaksanakan Program Duta Guru Yayasan PETRONAS untuk meningkatkan keupayaan guru, dengan membangunkan 4,500 guru STEM yang berkebolehan dan komited serta akan menjadi teladan bagi meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi melalui pendidikan STEM sebagai asas untuk menjadi sebuah negara berdaya saing menjelang 2030.

2,996 pelajar di Sarawak turut mendapat manfaat daripada inisiatif CERDIK Yayasan PETRONAS. Di bawah program ini, PETRONAS menyumbang RM30 juta untuk pembelian Ipad, aksesori berkaitan dan sambungan data selama 12 bulan. Sumbangan itu merangkumi 25% daripada jumlah keseluruhan sumbangan PETRONAS untuk CERDIK, terbesar diantara semua negeri di Malaysia.  

Suara Sarawak