KUCHING: Kompleks Sukan Spaoh di Betong yang baharu bernilai RM14 juta dijangka siap hujung bulan ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah dalam satu kenyatan semalam menyatakan pihak kontraktor kini dalam melaksanakan kerja-kerja akhir pada kompleks yang mempunyai kemudahan stadium terbuka dan tertutup.

“Stadium tertutup dengan dewan pelbagai guna dan sistem penyaman udara sepenuhnya mempunyai empat gelanggang badminton, tempat duduk penonton dan pentas. Ia juga boleh memuatkan 150 meja jika digunakan untuk venue makan malam.

“Kemudahan di stadium terbukanya termasuklah trek larian sintetik sepenuhnya, sebuah padang bola sepak, grandstan dan bilik persalinan,” katanya.

Kompleks sukan itu dijangka untuk dibuka kepada orang awam bulan hadapan.

Sementara itu Uggah berkata bangunan Pasar Sepaoh bernilai RM5 juta yang baharu dijangka siap untuk digunakan pada Julai tahun ini. — BERNAMA

Suara Sarawak