Anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Bintulu melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis di Sungai Asap, pada Jumaat.

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Bintulu telah mengambil tindakan terhadap 29 kes membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 pada suku pertama tahun ini.

Ketua Cawangan KPDNHEP Bintulu Nazari Hassan berkata, kes tersebut melibatkan nilai rampasan berjumlah RM693,238 melibatkan nilai kompaun sebanyak RM38,850 selepas 1,245 premis diperiksa.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Bintulu menjalankan pemeriksaan secara harian terhadap bekalan barang kawalan dan harga barangan keperluan pengguna.

“Pemeriksaan yang dijalankan merangkumi kawasan bandar dan juga luar bandar di bawah pentadbiran Pejabat KPDNHEP Bintulu.

“KPDNHEP juga komited untuk melakukan pemeriksaan berterusan di peringkat pemborong dan peruncit bagi memastikan kedudukan bekalan barang keperluan asas di seluruh rantaian pengedaran dan pembekalan barang serta perkhidmatan adalah terkawal dan stabil,” katanya.

Selain pemeriksaan di kawasan bandar dan kawasan luar bandar katanya, kawasan pedalaman juga tidak ketinggalan yang mana pemeriksaan dan pemantauan tetap dijalankan.

“Ia untuk memastikan bekalan barang keperluan asas dijamin sampai ke kawasan tersebut melalui Projek Penyeragaman Harga Barang,” tambahnya.

Mengenai pemeriksaan di Pekan Sungai Asap Jumaat lalu kata Nazari, enam daripada 26 premis yang diperiksa telah dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

“Dua daripadanya telah dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala empat lagi kes di bawah Akta kawalan harga dan anti pencatutan 2011,” jelasnya.

Sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) atau Whatsapp ke 019- 279 4317.

Suara Sarawak