Rodziah (kanan) bersama Abdul Rahman Junaidi (dua kanan) dan Julaihi (dua kiri) melihat pameran sempena Program Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

KUCHING: Lembaga Air Kuching (LAK) mengambil langkah memperkasakan perkhidmatan digitalisasi dengan sasaran migrasi 80 peratus data e-solusis (HRPays & ESS), CACTUS dan e-Prestasi kepada aplikasi berasaskan web menjelang pertengahan 2022.

Pengurus Besar Lembaga Air Kuching Rodziah Mohamad berkata ia seiring dengan langkah-langkah penambahbaikan dalam pengurusan dan penyelesaian aduan dengan lebih efektif.

“Selain pengumpulan dan pengurusan data lebih berkesan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos dalam pengurusan dan operasi teknologi maklumat dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Sarawak, yang disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Air Kuching Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Dato Ir. Alice Jawan.

Pada masa sama, Rodziah berkata pihak ICT LAK turut menyediakan laman web IWater, iaitu satu inisiatif dalaman untuk menawarkan cara mudah kepada pengguna untuk mendaftar akaun bil air, melihat bil tiga bulan terkini atau bil tertunggak.

Selain itu, beliau berkata sekiranya lambat menerima bil, pengguna boleh menghantar bacaan terkini dan bil bulanan akan dihasilkan kemudian.

“Para pengguna juga boleh terus membuat pembayaran melalui Paybills, Sarawak Global,” katanya.

Sementara, Rodziah berkata LAK kini sedang memperbaharui pensijilan semula ISO 9001: 2015 Quality Management (QMS), ISO27001: 2013 Information System Management System (ISMS).

Dalam pada itu, katanya LAK dalam proses mendapat pensijilan ISO 45001:2018 Occupational Health and Safety Management System (OHSMS) dan ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS).

Suara Sarawak