KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Lazada memberi anugerah kepada 18 usahawan wanita berjaya pada platform e- dagangnya dalam edisi kedua Lazada Forward Women Awards (LFWA) 2022.

Ketua Pegawai Operasi Lazada Group Raymond Yang berkata pencapaian usahawan wanita dalam ekosistem perdagangan digital di seluruh Asia Tenggara adalah sesuatu yang hebat dan luar biasa.

“Penjual Lazada kami terus berinovasi dan menyesuaikan perniagaan mereka kepada persekitaran e-dagang, memenuhi permintaan pelanggan dan menambah baik tawaran produk.

“Justeru, kami berbangga untuk terus bersama para pemenang ini dan mencipta dunia yang mempunyai kepelbagaian dan inklusif,” katanya ketika siaran langsung majlis itu di saluran LazLive hari ini.

Tahun ini, Lazada mengiktiraf usahawan wanita dalam tujuh kategori anugerah iaitu Rising Star, Bricks to Clicks Tech Adopter, Creative, Enterprising, Inspiring, Social Star dan anugerah utama Lazada Forward Woman of the Year yang diberikan kepada enam peniaga dari setiap negara Lazada beroperasi iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kategori anugerah tersebut adalah bukti kepada ketahanan dan semangat ‘mampu buat’ pemilik perniagaan wanita dalam berusaha mencapai dan merealisasikan visi keusahawanan mereka serta mencapai lebih dari kejayaan ekonomi semata-mata, mereka juga adalah suri teladan, menyumbang kembali dan mencipta impak dalam komuniti setempat.

Pemenang Anugerah Lazada Forward Woman of The Year Kong Wai Theng, yang memiliki farmasi dalam talian Big Care Mart pada platform e-dagang berpangkalan di Malaysia berkata, beliau bersyukur diiktiraf pada anugerah tahun ini, serta menggalakkan usahawan lain untuk mengembangkan perniagaan secara maya.

“Saya bersyukur diiktiraf pada LFWA tahun ini. Setelah secara langsung mengalami kesan positif mendigitalkan perniagaan pada 2017, saya sangat mengesyorkan e- dagang.

“Untuk semua peniaga wanita bercita-cita tinggi di luar sana, teruskan mencari peluang dan cara untuk mengatasi cabaran. Apabila kita terus memperbaiki diri, kejayaan akan dalam jangkauan,” katanya.

Nurul Izzan Zamzuri, pemenang untuk anugerah Creative menambah, bagi sesiapa yang berkir untuk menceburi dunia perniagaan, ia adalah penting untuk melakukan kajian dan mengetahui tentang permintaan produk atau prospek.

“Jika ia adalah produk yang tepat, yakinlah bahawa mereka yang berkiran sama akan berminat dengan apa yang anda tawarkan. Kumpulkan keberanian untuk memulakan langkah dan lakukannya 100 peratus untuk menjadikan impian perniagaan anda satu realiti,” katanya.

Acara tersebut turut menyaksikan Anugerah Lazada Forward Woman of The Year diberikan kepada usahawan wanita dari negara lain iaitu Farica Edgina Yosafat dari Indonesia, Monalisa Gao (Filipina), Liang Wee Ling (Singapura), Pattiya Thanasrivanitchai (Thailand) dan Đoàn Trần Thùy Linh dari Vietnam. — BERNAMA

Suara Sarawak