BINTULU:  Pasukan bomba mengambil masa lebih lima jam untuk memadam kebakaran membabitkan 10 buah rumah di kawasan estate MLNG di Tanjung Kidurong, di sini, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 11.20 malam itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memberitahu, kebakaran dipercayai bermula daripada salah satu kediaman itu sebelum merebak pantas ke rumah lain yang bersebelahan.

“Cuaca berangin, tekanan air rendah dan  arus elektrik yang masih aktif di lokasi menyukarkan operasi pemadaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu memberitahu, operasi pemadaman bertambah sukar apabila  tidak ada dinding pemisah antara setiap rumah.

Keadaan itu katanya, mengakibatkan api merebak dengan cepat melalui bahagian siling atas setiap kediaman berkenaan.

“Kebakaran hanya berjaya dikawal sepenuhnya selepas bekalan elektrik diputuskan sepenuhnya oleh pihak Sarawak Energy yang hadir.

“Tindakan itu membantu bomba menyelamatkan dua buah rumah daripada mengalami kemusnahan sepenuhnya. Kedua-dua kediaman berkenaan hanya terbakar 50 peratus,” katanya.

Operasi berakhir pada jam 5.04 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan Bahagian Jabatan Siasatan Kebakaran JBPM Sarawak.

Bomba sedang memadam kebakaran di Tanjung Kidurong Bintulu, semalam.

Suara Sarawak