Suspek dan dadah yang dirampas daripadanya.

SARIKEI:  Seorang lelaki disyaki tokan dadah berdepan penjara seumur hidup selepas didapati memiliki 40 gram syabu.

Suspek berusia 30 tahun ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei, di sini, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintenden (DSP) Benedict Faris Jimoy berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam selain intipan lanjut pihak polis.

“Hasil serbuan ke atas suspek di rumahnya, kita merampas syabu seberat sebanyak 40.40 gram.

“Suspek dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah di daerah Sarikei,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau satu tempoh tidak kurang lima tahun penjara dan sebat tidak kurang daripada sepuluh sebatan.

“Saya ingin menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Sehubungan itu, saya juga menggesa  kerjasama orang ramai membantu Polis supaya  kegiatan jenayah ini dapat dibenteras hingga ke akar umbi,” tegasnya.

Suara Sarawak