KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menampar muka anak lelaki kandungnya berusia enam tahun hingga menyebabkan kecederaan.

Tertuduh berusia 37, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Majistret Syarifah Fatimah memutuskan sekiranya tertuduh gagal membayar denda akan dikenakan hukuman penjara dua minggu.

Mahkamah juga memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 17 Februari lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mencederakan anak lelaki kandungnya, Alif Ariffin di sebuah rumah di Jalan Matang Batu 8, di sini, kira-kira jam 1.30 petang, 17 Februari lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada 17 Februari lepas sekitar jam 1.30 petang, semasa berada di rumah, anak perempuan tertuduh memaklumkan kepada neneknya (ibu tertuduh) bahawa dia melihat bapanya menampar adiknya (mangsa) di bahagian muka sebelah kanan.

Nenek mangsa yang segera keluar dari bilik kemudian melihat cucunya dalam keadaan hampir pengsan dan mendapati ada kesan tangan dan merah di muka mangsa.

Selain itu, nenek mangsa juga memaklumkan bahawa kejadian seperti itu pernah terjadi beberapa kali terhadap cucunya yang lain dan mengesyaki anaknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tertuduh juga pernah menyatakan bahawa dia tidak takut untuk memukul anaknya dan tidak takut dengan pihak polis.

Tertuduh turut sering membawa pisau dan tukul semasa berada di dalam rumah serta dibawa ke dalam bilik tidur.

Ibu tertuduh yang bimbang dengan keselamatan ahli keluarga yang lain kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkap tertuduh pada hari yang sama kejadian berlaku.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak