KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencederakan bapanya menggunakan kotak plastik meter elektrik, 9 Mac lepas.

Tertuduh Wan Ismail Wan Irwandy, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan pertuduhan, dia sengaja mencederakan bapanya berusia 48 tahun di sebuah rumah di Jalan Batu Kawah, di sini, sekitar jam 7.15 petang, 9 Mac lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh telah membaling kotak plastik meter elektrik ke arah bapanya sehingga menyebabkan kecederaan dan kesakitan di bahagian paha sebelah kiri.

Difahamkan, tertuduh berbuat demikian disebabkan geram dihalau dari rumah kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Selain itu, tertuduh juga mengaku dia mendapat kurang kasih sayang daripada keluarganya.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak