PADAWAN: Seorang lelaki ditahan dalam cubaan melarikan diri dengan kenderaan curi di persimpangan lampu isyarat Moyan, Jalan Matang-Batu Kawa, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sarawak ketika menjalankan rondaan penguatkuasaan trafik telah mengesan suspek, 26, memandu sebuah Perodua Kancil tiada nombor pendaftaran di Jalan Stephen Yong, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, anggota bertindak mengekori suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota mengarahkan kenderaan tersebut supaya berhenti namun kenderaan tersebut memecut lari menghala ke arah Rantau Panjang.

“Kemudiannya kenderaan tersebut terbabas di pembahagi jalan sebelum persimpangan lampu isyarat Moyan, Jalan Matang-Batu Kawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek telah berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit pernah dilaporkan hilang di Sekama.

Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut.

KECUNDANG…Perodua Kancil yang dipandu suspek terbabas di pembahagi jalan sebelum persimpangan lampu isyarat Moyan, Jalan Matang-Batu Kawa.

Suara Sarawak