Mayat lelaki yang ditemukan meninggal dunia di dalam longkang di belakang sebuah premis di Saratok, semalam.

SARATOK: Seorang lelaki dijumpai meninggal dunia dalam keadaan tersepit dalam longkang di belakang sebuah premis di sini.

Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa berusia 35 tahun itu kira-kira jam 4 petang semalam.

“Pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati keadaan mayat masih sempurna.

“Siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kedai berhampiran mendapati mangsa terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

“Mangsa jatuh dalam lokang dan cuba untuk bangun tetapi tidak berjaya kerana keadaan longkang yang agak sempit.

“Mangsa dipercayai lemas tersepit dalam longkang itu,” katanya.

Justeru, katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suara Sarawak