Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukut Mukah, pagi tadi.

MUKAH: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bukut di sini, hari ini.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7.20 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia, 43, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan berlaku ketika lori dalam perjalanan dari arah Simpang Bukut menghala ke Balingian Power Generation.

“Bagaimanapun ketika tiba di selekoh di Jalan Bukut, lori itu bertembung dengan sebuah kereta yang secara tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu pemandu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebagai tindakan susulan katanya, pihak polis mengambil gambar dan melakar rajah kasar di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemandu lori yang berusia 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suara Sarawak