Ahmad dikawal ketat pihak polis ketika dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi.

SIBU: Lelaki yang disyaki melakukan pembunuhan ke atas dua wanita warganegara Indonesia di Daro pada bulan lepas didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Tertuduh, Ahmad, 31, akan berdepan hukuman gantung jika sabit kesalahan, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Tertuduh yang merupakan pemandu van di sebuah ladang kelapa sawit di Daro hanya berdiam diri semasa pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa membunuh Pandang Sarang kira-kira jam 11 pagi di ladang kelapa sawit pada 11 Februari dan Muli Laha pada jam 11 malam.

Seorang lagi wanita dikenali sebagai Tene, yang turut diserang oleh tertuduh bagaimanapun terselamat.

Tertuduh ditahan di Jalan Sentral Daro pada jam 3.30 petang 12 Februari lepas, manakala mayat si mati ditemui di Dermaga RC Sungai Sanmong di Daro pada 12 Februari dan 14 Februari.

Sementara itu, perbicaraan akan bersambung semula pada 25 Mac ini.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dona Luyanna Sabariah Azmi, sementara Ahmad diwakili peguam Ben Lau.

Suara Sarawak