Keadaan rumah setelah api berjaya dipadamkan

KUCHING: Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki penyebab kebakaran rumah bapanya di Jalan Astana pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang merupakan anak kandung kepada pemilik rumah terbabit juga didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Suspek ditangkap sekitar jam 8 malam pada hari kejadian susulan maklumat diperolehi di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Suspek turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Berdasarkan keterangan saksi, suspek pada awalnya merokok sambil membakar longgokan sampah di tepi rumah tersebut.

Bagaimanapun, api menyambar dinding papan rumah lalu marak. Namun suspek hanya berdiam diri dan tidak cuba memadamkan api sehinggalah orang kampung datang.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kebakaran tersebut tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan anggaran kerugian sekitar RM500,000.

Suara Sarawak