Operasi menyelamat dilakukan oleh Pihak Balai Bomba Penyelamat Bintulu

BINTULU: Seorang lelaki warganegara Indonesia maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan simpang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew C, di Jalan Tun Hussein Onn, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah van dengan sebuah lori treler.

“Mangsa, 26, disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 6.40 petang ketika menerima rawatan di zon kecemasan.

“Manakala, penumpang pada bahagian kerusi duduk hadapan (rakan mangsa) juga lelaki warganegara Indonesia, 37, turut mengalami kecederaan dan diberikan rawatan di zon kuning,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lelaki tempatan, 37, yang memandu lori treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson mendedahkan, kejadian dipercayai berlaku apabila van yang dipandu mangsa sedang bergerak lurus dari arah Bintulu sebelum terlanggar lori treler terbabit yang hendak membelok masuk ke simpang SJK Sebiew C.

“Perlanggaran antara dua kenderaan tersebut telah menyebabkan van tersebut terbalik dan remuk pada bahagian hadapan,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi menyelamat dilakukan oleh Pihak Balai Bomba Penyelamat Bintulu

Suara Sarawak