KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap bapa kandung Eric Chang Wei Jie, kerana gagal hadir semasa pertuduhan kes berkaitan penyalahgunaan dadah.

Majistret Zaiton Anuar mengeluarkan perintah tersebut selepas pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh Lee Fook Chuan, 30 dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) Akta yang sama, kerana memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, kira-kira jam 1.53 petang, 12 November 2020.

Jika sabit kesalahan, Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Terdahulu, bapa Eric sepatutnya dituduh di mahkamah pada 25 Mac lalu bersama isterinya. Namun, dia didapati positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

Ibu kandung kanak-kanak itu juga telah dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara di Mahkamah Majistret atas kesalahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah pada 25 Mac lalu.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak bernama Eric berusia empat tahun dilaporkan hilang pada 7 Mac lepas semasa dijaga oleh pengasuhnya di kawasan perumahan di Bintawa.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak