Kedua-dua mangsa dibawa ke Kampung Jemoreng selepas ditemui selamat oleh penduduk tempatan.

MATU: Dua sahabat bertahan hidup dengan makan sayur midin serta tumbuhan hutan selama empat hari sebelum berjaya menemui jalan keluar dan ditemui selamat oleh penduduk kampung, petang tadi.

Itu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh dua rakan yang dilaporkan hilang ketika mencari asam kelubi di dalam hutan berhampiran Kampung Jemoreng, Ahad lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu, Lt (PA) Jumaat AKasas berkata, Mohamad Kael Abdullah atau Tony, 30, dan rakannya, Nazif Qabil Muhimin, 15, ditemui dua kilometer dari lokasi kedua-duanya masuk ke dalam hutan.

“Mereka ditemui di tepi jalan utama Kampung Bawang – Jemoreng pada jam 7.45 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan dalam perjalanan ke Daro,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Jumaat, kedua-dua mangsa mendakwa mereka masuk ke dalam hutan sejauh dua kilometer dari jalan utama Jemoreng Bawang dan kemudian menghala ke sebelah kanan Jalan Passin Jemoreng.

“Mereka memberitahu hanya makan midin untuk bertahan hidup selain membuat banyak ungun api supaya kedudukan dapat dikesan oleh pasukan penyelamat.

“Malah kata mereka ada terdengar laungan azan dan mercun. Pada hari pertama pula ada mendengar bunyi gergaji rantai tetapi terlalu jauh,” katanya.

Ketika ditemui kedua-duanya mangsa sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Terdahulu pada Ahad, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang selepas masuk ke dalam hutan untuk mencari asam.

Laporan kehilangan mereka kemudian dibuat di Balai Polis Daro sebelum Ops SAR dilancarkan pada keesokan harinya.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan semua anggota penyelamat yang menyertai operasi SAR,” katanya.

Susulan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada jam 9.30 malam.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Kampung Jemoreng selepas ditemui selamat oleh penduduk tempatan.

Suara Sarawak