TREND jualan makanan di restoran mewah, kedai makan terbuka dan gerai-gerai tepi jalan di Malaysia yang memaparkan gambar makanan dan minuman menarik di media sosial dan iklan komersial seperti teh tarik meleleh, ayam goreng keju meleleh, aiskrim goreng, burger pedas berapi dan sebagainya pasti menjadi tumpuan pelanggan untuk mencuba makanan tersebut.

Pengalaman sendiri yang berminat untuk menguji pelbagai jenis makanan apabila melihat gambar menarik dipaparkan di skrin telefon pintar membuatkan rasa ingin mencuba makanan tersebut.

Tetapi bagaimanakah khasiat makanan tersebut untuk kesihatan?

Ini sering menjadi pertanyaan. Namun demikian, kita tidak dapat menyalahkan peniaga yang menjual makanan menggunakan teknologi digital sebagai medium pemasaran mereka untuk meraih ramai pelanggan.

Perkara ini bergantung kepada setiap individu sama ada mengamalkan makanan tidak sihat berterusan atau hanya makan sekali sekala.

Trend makanan dalam kuantiti yang banyak juga untuk hidangan seorang individu juga semakin meraih perhatian masyarakat masa kini, namun perkara tersebut boleh menyebabkan pembaziran sekiranya makanan tidak dihabiskan.

Menurut perangkaan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), setiap tahun negara kerugian lebih RM1 bilion akibat kehilangan dan pembaziran makanan.

Selain itu, lebih kurang 3,000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan berakhir di tong sampah setiap hari.

Statistik tersebut sekali gus mengesahkan bahawa pembaziran makanan di Malaysia semakin kritikal.

Tambahan pula, kajian tersebut menunjukkan rakyat di negara ini suka membazirkan makanan.

Bukan setakat isu pembaziran makanan sahaja berlaku di negara ini, malah kebanyakan rakyat di negara ini turut mengalami masalah kegemukan dan berat badan berlebihan.

Meskipun pembaziran makanan semakin kritikal di negara ini, masalah kegemukan dalam kalangan masyarakat juga menjadi isu utama apabila mengamalkan pola pemakanan yang kurang sihat.

Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menyatakan 50.1 peratus orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Manakala 30.4 peratus adalah berlebihan berat badan dan 19.7 peratus adalah obesiti.

Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Sarawak Dr William Voon menyatakan bahawa 40 peratus hingga 45 peratus rakyat Sarawak mengalami masalah lebihan berat badan bagi tahun 2018.

Seperti yang kita sedia maklum juga, penyakit tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung koronari adalah dalam kategori pembunuh nombor satu negara masa kini apabila ramai rakyatnya tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, penyakit jantung koronari meragut kira-kira 50 nyawa rakyat Malaysia dalam sehari sekali gus menyebabkan penyakit berkenaan adalah pembunuh nombor satu negara.

Lebih menyedihkan apabila penyakit berkenaan bukan sahaja menyerang golongan dewasa malah kanak-kanak turut menjadi mangsa.

Pernah mempunyai seorang rakan yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak dari usia lapan tahun.

Sebelum disahkan mengidap penyakit berkenaan, ibu bapa beliau sering memberikan makanan yang tidak sihat seperti minuman berkabonat, makanan tinggi gula, dan makanan ringan setiap hari serta berat badan beliau juga berlebihan.

Dalam usia kanak-kanak, beliau masih tidak memahami bahawa makanan tersebut akan memudaratkan kesihatan sehingga pada usia 18 tahun beliau terpaksa melakukan suntikan insulin sendiri untuk mengawal kadar gula dalam badan.

Beliau kini telah mengambil suntikan insulin sejak 16 tahun yang lalu.

Beliau juga sering menyatakan, sekiranya berkeluarga dan mempunyai anak kelak.

Dia akan memastikan bahawa anak-anaknya mengambil pemakanan yang sihat supaya tidak mempunyai masalah kesihatan sepertinya.

Kurangnya aktiviti fizikal serta terikut-ikut dengan trend semasa resipi yang dikongsi di media sosial selain senang untuk mendapatkan makanan yang diingini apabila adanya perkhidmatan penghantar makanan semakin menjadikan nafsu makan individu berkenaan membuak-buak untuk mencuba makanan baru yang ditawarkan peniaga.

Perkara ini, boleh menyumbang kepada peningkatan penduduk yang mengalami masalah kesihatan akibat pengambilan makanan yang kurang sihat sekiranya tidak diberi kesedaran dan kawalan kendiri.

Justeru itu, masyarakat di negara ini hendaklah mempunyai kesedaran tentang pentingnya mengambil makanan sihat dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang dikongsi di media sosial atau iklan komersial.

Kempen kesihatan yang dianjurkan oleh kerajaan tidak akan berhasil sekiranya tahap kesedaran masyarakat masih rendah mengenai kesihatan kendiri. Masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan seawal usia muda sudah semestinya merugikan negara.

Suara Sarawak