MINGGU ini serta beberapa minggu yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua perkara penting iaitu fasa peralihan ke endemik dan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengumuman itu ibarat sinar di hujung terowong buat rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dua tahun lalu.

Sepanjang dua tahun tersebut, ramai yang menderita, baik dari segi pekerjaan dan kewangan, malah ada yang tewas kepada wabak itu sehingga ada yang hilang ahli keluarga atau saudara mara.

Dua tahun itu boleh dikatakan amat memeritkan rakyat Malaysia dan sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, namun kekal berjaga-jaga dan mematuhi sepenuhnya saranan kerajaan.

Memetik laporan berita berhubung fasa peralihan pandemik ke endemik, keputusan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia serta selepas meneliti syor daripada menteri kuartet.

Peralihan tersebut merupakan strategi keluar bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan hampir normal.

Kedai-kedai makan atau mana-mana perniagaan misalnya dapat kembali beroperasi berdasarkan lesen perniagaan mereka. Misalnya kedai makan dahulunya beroperasi sehingga jam 12 malam dan selepas had waktu itu dimansuhkan pada 1 April ini, ia sedikit banyak memberi gambaran kita beransur-ansur menuju ke arah kehidupan hampir normal.

Selain itu, pengumuman seperti aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat agama lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal juga antara berita gembira yang disambut baik oleh semua.

Pun begitu, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat agama lain boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Selain itu, aktiviti perkumpulan yang menghadkan kepada 50 peratus kapasiti juga turut dimansuhkan namun aspek penjarakan fizikal masih perlu diamalkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam minggu ini turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran khas RM10,000 KWSP.

Keputusan itu dibuat ekoran ada dalam kalangan rakyat masih terkesan dari segi ekonomi, hilang mata pencarian dan untuk membina semula kehidupan.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang sukar kerana membabitkan simpanan untuk hari tua dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak ketika ini.

Justeru beliau berharap pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa hadapan.

Melihat kepada dua pengumuman penting itu, apa yang rakyat Malaysia perlu fahami ialah setiap tindakan yang diambil perlu dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

Sebaik sahaja melangkah ke tarikh 1 April nanti, sudah semestinya pelbagai sektor ekonomi beroperasi seperti biasa sekali gus memberi ruang untuk mereka bernafas dan membolehkan mereka meneruskan kelangsungan perniagaan.

Aktiviti pelancongan mahupun majlis kenduri-kendara yang dirancang sebelum ini semestinya memberi ruang dan peluang kepada pengusaha kecil kembali menjana pendapatan.

Meskipun tiada lagi larangan dan sekatan untuk menganjurkan sesuatu majlis dengan kapasiti penuh, rakyat Malaysia secara amnya perlu mengambil sikap tanggungjawab dengan menjalankan ujian kendiri dan mematuhi SOP sedia ada.

Langkah sedemikian perlu diambil bagi memastikan Malaysia beralih ke fasa endemik dengan lebih selamat dan dalam masa yang sama merancakkan semula ekonomi tempatan.

Selain itu, pengeluaran khas KWSP boleh memberi peluang kepada pencarum yang tersepit dalam masalah kewangan untuk memulakan kehidupan baharu.

Pengeluaran itu boleh digunakan untuk kelangsungan hidup para pencarum atau dijadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan kelak.

Justeru, rakyat Malaysia secara amnya perlu berhati-hati dan mempertimbangkan segala tindakan mereka dalam membuat keputusan dalam melangkah ke fasa peralihan endemik dan dalam masa yang sama membangkitkan semula ekonomi negara.

Suara Sarawak