KUCHING: Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat hari ini mengesahkan beliau keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa serta-merta.

Masir, yang juga Ahli Majlis Presiden PSB berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangna dengan penyokong akar umbi kawasannya.

“Keputusan ini diambil atas beberapa faktor utama yang antaranya ketidakstabilan politik di negara ini yang jelas menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau percaya keputusan itu merupakan langkah terbaik untuk mara membantu menstabilkan dan membina semula negara dengan mengenepikan politik pada masa sekarang.

Bagaimanapun, Masir tidak menyebut rancangannya untuk menyertai mana-mana parti politik mahupun kembali ke Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau hanya menyatakan pendirian akan menyokong kerajaan pemerintah semasa.

“Saya perlu memainkan peranan saya dengan menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tegasnya.

Untuk rekod, Masir keluar dari PRS dan menyertai PSB pada Mac 2019 dengan mendakwa mahu berada dalam parti yang boleh menyatukan semua kaum di Sarawak.

Suara Sarawak