PRESIDEN SABA…Datuk Rahman Lariwoo.

Petinju berpengalaman Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong kini berlatih bersama kem kebangsaan yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Negara, Rustam Saidov.

Pemenang pingat perak kategori Lightweight (60 kg) di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu mula menyertai latihan terbabit pada 28 Februari lalu.

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, sesi latihan membabitkan anak didik Muhammad Helman Morni (ketua jurulatih) itu akan berakhir hujung bulan ini.

” Mcdelon antara salah seorang petinju kita yang berlatih bersama kem kebangsaan, diharap beliau akan memanfaatkan peluang yang ada bagi meningkatkan prestasi,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.

Sekali gus persiapan untuk dirinya menghadapi Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia Dan Sukan Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada 21 hingga 28 Mac ini.

“Diharap Mcdelon akan dapat meraih pengalaman berharga kerana beliau juga merupakan sandaran kontinjen Sarawak untuk terus beroleh pingat di Sukma Kuala Lumpur 2022 nanti,” tambah beliau lagi.

Menurut Rahman, tinju merupakan antara lima acara sukan pilihan yang dipertandingkan pada Sukma Kuala Lumpur 2022.

Empat lagi acara sukan pilihan yang turut dipertandingkan ialah angkat berat, muay, ragbi dan sepak takraw.

Sambil 16 acara sukan wajib iaitu akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik/gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, tenpin boling dan wushu.

Suara Sarawak