SEBAK… Dr Simon sebak sambil memegang anak kedua mendiang iaitu Joseph Rayyan Damian turut kelihatan adalah abang kembar kepada mendiang Damian iaitu Cosmas Senin (dua kiri) dan abang sulungnya Henry Limon (satu kiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dekat sini hari ini. (Foto: Ghazali Bujang)

KUCHING: Jenazah mendiang Damian Senin,46 dan Ronwina Mambai,35 yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 13 Mac lalu.

Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, perkara tersebut diputuskan susulan mendiang Damian didapati positif Covid-19, manakala isterinya diklasifikasikan sebagai kontak rapat.

“Pada awalnya, kami memang berniat untuk membantu termasuk dari segi kos sekiranya jenazah mereka di bawa ke Kuching.

“Bagaimanapun keputusan telah dibuat dan kedua-dua mendiang perlu dikebumikan di Shah Alam, maka kita akur dengan keputusan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dekat sini hari ini.

BERCAKAP… Dr Simon bercakap kepada pemberita ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dekat sini hari ini.(Foto: Ghazali Bujang)

Beliau dalam pada itu menzahirkan kebimbangan melihat keadaan ketiga-tiga anak mendiang iaitu Elisa Olivia Damian, 10; Joseph Rayyan Damian, 8; dan Magdalena Damian, 2.

“Saya juga bimbang jika suatu hari nanti anak-anak ini membesar dan ingin menziarahi pusara ibu bapa, mereka terpaksa terbang (pergi) ke Kuala Lumpur, ini akan memakan belanja yang besar.

“Justeru, saya berharap agar ketiga-tiga anak ini juga akan berjaya pada masa hadapan dan dapat menziarahi pusara ibu bapa mereka di Shah Alam,” ujarnya.

Tedahulu, Simon yang hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching turut menunggu sekali gus menyambut ketibaan ketiga-tiga anak mendiang yang di bawa pulang ke sini pagi tadi.

Untuk rekod, mendiang Damian dan Ronwina ditemui meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik di dalam bilik air di sebuah flat di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands pada 10 Mac lalu.

Suara Sarawak