Mengamuk rosakkan barang bapa, lelaki didenda

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tujuh bulan penjara atas kesalahan melakukan khianat merosakkan harta milik bapanya hingga menyebabkan kerugian RM2,500.

James Ng, 41 mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memecah seunit televisyen, seunit monitor komputer, seunit pemain DVD dan pintu almari baju bapanya yang berusia 75 tahun hingga menyebabkan kerugian RM2,500 di kediamannya, Jalan Arang di sini, kira-kira jam 6.00 pagi, 27 Februari lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh sering mengamuk dan merosakkan barang-barang dalam rumah dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak