100 paket mengandungi amphetamine yang dirampas daripada suspek.

MIRI: Taktik seorang lelaki mengedar dadah yang dibungkus menggunakan paket serbuk jus terbongkar, selepas dia ditahan di sini.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata suspek berusia 35 tahun ditahan kira-kira jam 8.30 malam semalam, di hadapan sebuah premis di Jalan Sim Cheng Kay.

“Kemudian pemeriksaan dibuat di sebuah bilik hotel di Jalan Sim Cheng Kay dan telah menjumpai 100 paket bertulis ‘juice master’ berisi serbuk disyaki dadah jenis amphetamine yang dianggarkan seberat 3.2 kilogram bernilai RM6,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

Hakemal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Suara Sarawak