KUCHING: Sarawak Skills sentiasa peka terhadap keperluan tenaga kerja yang diperlukan dalam pelbagai industri di negeri ini. Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, selain kemahiran teknikal yang relevan dengan tenaga kerja industri, pusat itu juga menekankan aspek pembangunan modal insan seperti integriti, kerja berpasukan, berfikiran kreatif dan inovatif serta kecekapan dalam komunikasi khususnya dalam bahasa Inggeris.

“Dengan kepakaran yang dimiliki, Sarawak Skills kini menyediakan perkhidmatan perundingan memperkenalkan elemen automasi yang menjurus kepada elemen sistem integrasi Revolusi Industri (IR4.0) kepada industri di Sarawak dengan harapan untuk membantu industri mengurangkan pembaziran, meningkatkan kualiti produk dan produktiviti syarikat.

“Dengan sistem integrasi ini, maklumat dan pengetahuan akan dapat berjalan dengan lancar melalui keseluruhan rantaian bekalan dan meningkatkan kerjasama antara industri, pengeluar, pembekal danpelanggan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-6 Institut Latihan Kemahiran Swasta PPKS Ilmu di Auditorium Sarawak Skills, Tabuan Jaya, dekat sini  pada Selasa.

Tambahnya, kerjasama Sarawak Skills dan industri memberikan banyak manfaat bersama terutama dalam meningkatkan kemahiran pekerja industri atau memberi nilai tambah dalam pengetahuan pelajarnya yang menjalani latihan industri.

Menurutnya, keahlian Sarawak Skills dalam Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) membantu mereka mengikuti perkembangan TVET di peringkat kebangsaan. “Malah melalui FMSDC, Sarawak Skills telah diamanahkan untuk melatih graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dengan kemahiran tambahan untuk relevan dengan keperluan industri,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, Sarawak Skills kerap mengadakan pelbagai aktiviti dengan memberi penekanan kepada komitmen untuk memartabatkan pendidikan TVET. “Program ini termasuk kem kemahiran, ceramah industri serta pertemuan dengan industri dan sekolah,” jelasnya.

Suara Sarawak