MUKAH: Seorang wanita berusia 52 tahun memiliki dan mengaku menyimpan 36 karton pelbagai jenis minuman keras dan 50 karton rokok yang tidak bercukai dengan nilai keseluruhan RM13,485.84.

Wanita terbabit ditahan dalam satu serbuan oleh IPD Mukah di Jalan Tiong Hua, sekitar jam 2.30 petang semalam.

Wanita berusia 52 tahun mengaku memiliki serta menyimpan minuman keras dan rokok tidak bercukai

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, kesemua barang rampasan tersebut ditemui ketika pemeriksaan di dalam sebuah stor rumah burung milik wanita terbabit sebelum dijual di sekitar Daerah Mukah.

“Hasil siasatan awal, mendapati suspek gagal menunjukkan surat kastam dan lesen kebenaran menjual minuman keras.

“Kesemua rokok dan minuman keras dirampas dan dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, barang rampasan akan dirujuk ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kes kini masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.

Suara Sarawak