SERIAN: Timbalan Menteri Perusahaan dan Komoditi Datuk Willie Mongin mengesahkan minyak sawit kini menjadi minyak sayuran dengan harga tertinggi di dunia berikutan konflik antara negara Rusia dan Ukraine.

Menurutnya, peperangan itu memberi kesan kepada Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar bahan mentah minyak sawit sekali gus mengalahkan minyak sayuran lain seperti hasil dari soya dan bunga matahari.

Timbalan Menteri Perusahaan dan Komoditi Datuk Willie Mongin

“Belum ada dalam sejarah sebelum ini harga minyak sawit mahal berbanding minyak sayuran soya, matahari dan sebagainya tetapi hari ini ia terbukti selepas minyak sawit menjadi permintaan begitu tinggi membuktikan pasaran dunia memerlukan minyak itu dari Malaysia.

“Ada rahmat disebalik kejadian, yang mana harga sawit menjadi harga yang paling tinggi di dunia pada untuk minyak sayuran. Jadi kesan daripada peperangan tersebut setakat ini menyebelahi kita di negara ini,” katanya.

Beliau mengesahkan perkara terbabit dalam sidang media di Dewan Serbaguna Teng Bukap, Siburan, Serian, di sini hari ini.

Jelasnya, kenaikan harga pasaran dunia terhadap minyak sawit bukan sahaja dipengaruhi oleh peperangan tersebut namun turut disebabkan oleh beberapa faktor seperti peningkatan kos bayaran pekerja dan keadaan klimaks menyebabkan pengeluaran negara luar berkurang.

Tambahnya, proses pertumbuhan sawit yang begitu pantas menghasilkan buah dalam tempoh singkat menjadikannya pilihan utama dalam perladangan masa hadapan berbanding perladangan minyak sayuran lain.

“Kalau kita tanam 10 hektar sawit ia boleh keluarkan mungkin dalam 10 tan minyak tetapi untuk mereka (peladang) soya perlu menanam beribu ekar untuk mendapatkan kuantiti sama,” jelasnya lanjut.

Suara Sarawak