BERAMAI-RAMAI….Earth Hour 2022 tahun ini bakal menampilkan penggunaan lampu secara maya untuk pertama kalinya

PADAWAN: Buat julung kalinya, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menyertai Program ‘Earth Hour 2022’ yang akan berlangsung sekitar jam 8.30 hingga 9.30 malam, Sabtu ini.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, penglibatan bagi acara anjuran oleh 190 negara di seluruh dunia setiap tahun itu adalah bukti dedikasi dan komitmen masyarakat untuk menyelamatkan bumi.

“Program seperti ini melambangkan komitmen warga dunia di samping meningkatkan kesedaran mereka tentang penggunaan tenaga memberi kesan berpanjangan terhadap alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, acara kali ini sedikit berbeza berbanding sebelumnya yang menyaksikan acara ‘lampu secara maya’ kali pertama turut diadakan.

Justeru, beliau menggesa agar individu-individu lain turut memberi sokongan sepanjang aktiviti ‘Earth Hour’ diadakan kelak.

Jelasnya lagi, penglibatan orang ramai mampu memberi kesan terhadap isu yang dihadapi dan berkongsi kepentingan alam semula jadi.

Dedah Lo, antara langkah-langkah yang boleh dipraktikkan sepanjang aktiviti itu berlangsung adalah dengan mematikan semua lampu yang tidak penting, makan malam dalam gelap dengan menggunakan lilin, menyertai strim video secara langsung Earth Hour, dan menikmati malam tanpa lampu yang menyala.

Earth Hour merupakan acara global pertama kali diadakan di Australia pada tahun 2007.

Acara Earth Hour kini telah berubah menjadi acara tahunan untuk menggalakkan lebih ramai manusia seluruh dunia menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masa depan bumi.

Suara Sarawak