Bercakap.. Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim bercakap dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Bazar Ramadhan 2022 di Dewan MPP di Kota Padawan, di sini, hari ini.

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah mengumumkan enam lokasi Bazar Ramadan di kawasan tadbirannya tahun ini setelah dua tahun tidak dibenarkan beroperasi.

Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sebanyak tiga lokasi Bazar Ramadan MPP 2022 akan dianjurkan pihak swasta manakala tiga lokasi lain dianjurkan pertubuhan komuniti setempat.

“Tiga lokasi yang akan dianjurkan pihak swasta ialah di kawasan parkir Emart Matang yang dianjurkan oleh Emart Reality (Kuching) Sdn Bhd, di kawasan parkir Emart Batu Kawa (Emart Property Batu Kawa Sdn Bhd) dan Prince Commercial Centre Batu 7 (Azfa Sucess Enterprise).

“Manakala, tiga lokasi yang dianjurkan pertubuhan komuniti setempat ialah di Sentosa Square yang dianjur oleh Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak, tempat letak kereta di kedai Taman Malihah (Jawatankuasa Taman Malihah Fasa 1) dan Tempat letak kereta Lee Ling Commercial Centre Matang (Kelab Silat Olahraga Gerak Kuntau Melayu Asli),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Bazar Ramadan 2022 di Dewan MPP di Kota Padawan, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad, Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran lesen dan yuran kepada penganjur Bazar Ramadan Berpusat di MPP tahun ini.

Ia ekoran penganjur banyak terkesan akibat pembatalan penganjuran bazar Ramadan, dua tahun sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, peserta dan penjual di Bazar Ramadan masih perlu membayar sewa kepada penganjur.

Suara Sarawak